Penghapusan Tol Batu 11 Cheras-Kajang Beri Manfaat Kepada Rakyat

Uploaded by umnohq on Jan 11, 2012

KUALA LUMPUR , 11 Jan -- Permintaan penduduk Kajang agar kutipan tol di Plaza Tol Batu 11, Lebuhraya Cheras-Kajang dihapuskan mungkin menjadi kenyataan dalam masa terdekat untuk kepentingan semua pihak.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata hasrat berkenaan yang terkandung di dalam ucapannya sewaktu majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu difahamkan sudah diambil tindakan oleh mereka yang berkenaan.

Menurut beliau jika permintaan itu benar-benar menjadi kenyataan, ianya adalah hadiah yang cukup berharga daripada kerajaan terhadap rakyat khususnya penduduk serta pengguna laluan berkenaan sekaligus mengurangkan kesesakan lalulintas.

"Banyak manfaatnya kepada penduduk dan pengguna yang menggunakan laluan ini. Pertamanya dari segi perbelanjaan yang mana apabila tol itu dihapuskan sudah pasti pengguna akan merasa lega dan keduanya akan mengurangkan kesesakan lalulintas.

"Bayangkan mereka harus membayar dua kali untuk perjalanan sejauh hanya dua kilometer di mana setiap plaza tol yang berdekatan itu mereka harus membayar RM0.90 dan RM1.

"Plaza tol ini sudah wujud sejak 12 tahun lepas. Sejak itu penduduk berasa sangat terbeban membayar tol yang dilihat sangat tidak berbaloi. Cukuplah sekadar satu plaza tol di situ dan inilah yang kita harapkan dan kita penuh yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memahami naluri rakyat untuk kepentingan semua pihak," katanya dalam temubual ekslusif bersama UMNO-Online, di sini, hari ini.

Johan yang juga ADUN Semenyih seterusnya menambah, perkara berkenaan difahamkan akan dibawa kepada kabinet untuk dibincangkan dan berharap ianya bakal menjadi satu kenyataan kerana itu adalah kehendak dan hasrat rakyat.

"Melihat kepada perkembangan yang sangat positif ini, keputusan mungkin akan diperoleh secepat mungkin dan hajat penduduk untuk melihat plaza tol ini ditutup mungkin akan terlaksana," katanya.

Tambahnya, Barisan Nasional Hulu Langat telah lama memperjuangkan agar salah satu daripada dua plaza tol di lebuh raya itu ditutup bagi meringankan perbelanjaan rakyat yang berulang alik antara Kajang dan Kuala Lumpur.

"Jadi sama-samalah kita berdoa agar perkara ini benar-benar menjadi kenyataan dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya untuk membantu menyelesaikan masalah ini dan ini selaras dengan gagasan kita yang mendahulukan rakyat dan bukannya sekadar janji kosong seperti parti pembangkang," katanya.-MediaUMNO

Lagi http://umno-online.com/?p=53185

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Archives

Search This Blog