Datuk AC Mizal dilantik Duta Tahun Melawat Perak



Uploaded by ThePerakToday on Jan 24, 2012

Pengacara popular negara, Datuk AC Mizal dilantik sebagai Duta Tahun Melawat Perak bagi menggalas tugas mempromosikan pelancongan negeri yang menyasarkan lima juta pelancong berkunjung ke Perak, tahun ini.

Dikenali sebagai pengacara versatile, anak kelahiran Kota Bharu, Gopeng itu dipilih kerana daya tarikan tersendiri termasuk kepetahannya berbicara selain mengacarakan banyak program hiburan popular seperti Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak Mega.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata pemilihan AC Mizal sebagai duta TMP 2012 bertepatan sekali kerana beliau adalah anak kelahiran negeri itu.

Selain itu, beliau juga katanya, memiliki aura sebagai pengacara popular dan mempunyai ribuan peminat dari segenap lapisan masyarakat.

"Tempoh pelantikan AC Mizal dimeterai secara berperingkat-peringkat dan kita yakin beliau dapat mempromosikan pelancongan Perak dengan baik berdasarkan kepada popularitinya sebagai artis terkenal negara.

"Beliau akan mempromosikan TMP 2012 dalam setiap program yang dihoskannya selain menggunakan laman sosial Facebook TMP yang ketika ini mempunyai kira-kira 3,000 ahli sebagai jurucakap pelancongan Perak dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Duta Tahun Melawat Perak dan Konvoi Pelancongan Melawat Perak di Stadium Indera Mulia, di Ipoh, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Hamidah berkata, seramai 3,000 anak muda yang mewakili 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak turut dilantik sebagai duta kecil di daerah masing-masing bagi mempromosikan TMP 2012.

Usaha seperti itu katanya, diharap dapat menyemarakkan semangat anak muda untuk membantu kerajaan negeri menjayakan setiap program pelancongan yang dirancang.

"Kita berpendapat pelantikan duta kecil ini adalah pendekatan terbaik untuk mempromosikan pelancongan di peringkat akar umbi.

"Peserta yang hadir pada hari ini diberi penerangan asas mengenai pelancongan dalam suasana santai dan mereka turut berperanan sebagai sukarelawan apabila kita melaksanakan program pelancongan di kawasan mereka," tegasnya.

Duta kecil ini tambah beliau, juga berpeluang menjadi pemandu pelancong sekiranya mereka berminat untuk menjadikan karier itu sebagai sumber pendapatan tetap.

Sementara itu, AC Mizal pula berkata, beliau begitu berbesar hati di atas pelantikannya sebagai duta TMP 2012 dan berjanji akan menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

"Selain promosi di kaca televisyen, saya juga akan menghebahkan TMP 2012 melalui jaringan laman sosial 'Mface' yang bakal dilancarkan di Indonesia, Hong Kong dan seterusnya China.

"Saya juga menyediakan homepage khas untuk mempromosikan TMP 2012 selain dijadual turun padang menjayakan 40 program pelancongan yang diatur oleh kerajaan negeri," tegasnya lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Archives

Search This Blog