Kes ADUN BN Disabotaj Menular: Hamidah mangsa terbaru



Uploaded by ThePerakToday on Jan 24, 2012

Tidak habis-habis cerita mengenai pemimpin Barisan Nasional (BN) disabotaj oleh golongan-golongan yang busuk hati dan bersifat dengki dengan sikap bertanggungjawab wakil rakyat dari parti itu.

Sebelum ini, SMS palsu dihebahkan kepada rakyat kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membatalkan sambutan Tahun Baru Cina di kediaman rasminya sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat Cina.

Hari ini, satu lagi sabotaj dilakukan terhadap Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman yang menjadi mangsa 'hebahan palsu' yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurut Hamidah, pada Khamis lalu, beliau mendapat maklumat bahawa wujudnya kumpulan-kumpulan yang mengedarkan risalah-risalah yang menyatakan beliau akan memberi 'Ang Pow' sebanyak RM 100 kepada penduduk kawasan di sekitar DUN Sungai Rapat.

Berita palsu itu kemudiannya menjadi buah mulut di kalangan penduduk kampung berdekatan sehingga hampir 300 orang telah berkumpul sekitar jam 2 petang di Pejabat Rela Desa Pakatan.

"Sebelum Tahun Baru Cina, saya mendapat tahu ada pihak membuat surat hebahan atau risalah yang kononnya saya hendak memberi ang pow kepada semua ....ia macam unlimited ang pow untuk rakyat.

"Hebahan itu menyatakan saya akan beri RM100 ang pow melalui edaran surat yang dihantar ke kedai kopi. Rakyat percaya dan pergi ke tempat yang dimaklumkan untuk mengambil duit.

"Saya sudah tentu tidak tahu menahu mengenai hebahan itu dan tidak turun ke tempat yang diperkatakan lalu menyebabkan rakyat marah," katanya.

Susulan dari risalah palsu terbabit, individu berkenaan mula mencanang cerita-cerita buruk yang kononnya Hamidah adalah seorang penipu.

"Sekarang mereka mula heboh di merata-rata kononnya saya menipu rakyat... mereka kata saya janji nak turun tapi tak turun dan kata nak bagi angpow tapi tak bagi angpow pun.

"Saya tidak tahu hebahan itu bermula sejak bila namun saya hanya dimaklumkan sekitar jam 6 petang pada hari yang sama.

"Ketika itu, sudah terlewat untuk saya pergi ke tempat penduduk berkumpul bagi menjelaskan segala-galanya.

"Perkara itu seolah-olah sengaja diadakan semata-mata untuk memburuk-burukkan imej saya sedangkan saya tidak tahu menahu mengenai pemberian ang pow itu. Akibatnya, rakyat sudah marah saya atas kesilapan yang saya sendiri tidak buat," tegasnya lagi.

Hamidah menegaskan, beliau tidak pernah membuat program mahupun berjanji untuk memberikan ang pow pada tarikh yang dihebahkan.

"Saya nak bagi penjelasan bahawa saya tidak pernah berjanji untuk melakukan program itu dan tidak tahu siapakah individu tidak bertanggungjawab menjalankan perkara ini.

"Saya ingin maklumkan bahawa kita tidak pernah keluarkan poster atau hebahan yang mengatakan bahawa kami akan bagi ang pow pada hari itu. Yang pasti itu memang bukan saya yang buat sebaliknya kerja sabotaj yang cuba nak memburukkan saya.

"Saya minta maaf kepada rakyat DUN Sungai Rapat terutama yang berbangsa Cina sekiranya mereka berasa tertipu... ini bukan program saya dan saya tidak tahu siapa yang lakukan," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, trend politik sekarang seakan-akan menunjukkan ada usaha yang sedang giat dirancang oleh golongan-golongan tertentu untuk menimbulkan kemarahan kepada pemimpin BN.

Katanya, apa yang dilihat, fenomena mensabotaj wakil rakyat BN ini semakin menular ke beberapa kawasan dimana ia seperti wujudnya gerakan untuk mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin parti itu.

Tambahan lagi katanya, selepas Anwar Ibrahim terlepas dari hukuman penjara, kumpulan-kumpulan terbabit dilihat sudah kekeringan isu panas yang boleh menyemarakkan perasaan marah rakyat terhadap kerajaan BN.

Apa-apa pun katanya, perkara itu tidak akan dipandang ringan dan laporan polis telah dibuat pada Ahad lalu bagi menyiasat dalang di sebalik hebahan palsu terbabit.

"Kita mahu pihak polis siasat siapakah yang membuat risalah palsu ini dan saya harap perkara ini dapat selesai secepat mungkin," katanya.

Hamidah ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Archives

Search This Blog