Tukar Tiub memang suka benda ini.

Tukar Tiub memang suka benda ini, malah laporan sulit mendakwa dia juga merupakan penganjur program seperti ini di sekitar Kuala Lumpur. Berikut ialah laporan beliau tentang musik bawah tanah yang dihadirinya di Pahang baru-baru ini.


Bagaimana kalau anak muda ini dilahirkan di Busut Jin Temerloh, atau di Tanjung Kayuh Mentakab atau di Jerantut. Apakah anak muda ini akan merasa kecewa kerana tidak dilahirkan di Manchester, Liverpool atau di Brixton London. Alangkah indahnya dunia anak-anak muda jika mereka hidup muda sebebas kawan-kawan mereka di Berlin, di Amsterdam atau di Madrid. Tetapi hakikatnya bukan tempat kelahiran yang menjadi kunci untuk merayakan kemudaan. Kuncinya hanyalah — mahu atau tidak mahu.

Pada petang Tahun Baru China dalam perjalanan pulang dari Pantai Balok Kuantan , kereta yang aku naiki berhenti di lampu merah di persimpangan pekan Mentakab. Di sebelah kiri di tembok jalan kelihatan satu kumpulan anak muda berbaju t hitam. Mendongak ke tingkap bangunan aku ternampak seorang anak gadis melambai-lambai. Kereta diberhentikan dan aku memanjat tangga.

Dengan tiket berharga Rm 7.50 aku dibenarkan masuk tanpa dipaksa menunjukkan kad pengenalan. Hampir 70 orang anak muda sedang berpesta menyambut Tahun Naga. Ada yang berdiri dan ada yang tersandar letih di dinding. Tidak ada yang bersembang mesra. Dalam pesta punk rock ini, kumpulan anak muda meloncat, mengambur dan menjerit-jerit dalam …

Musik sedang rancak. Sebuah band punk rock — tiga gitar satu gendang dan seorang penyanyi sedang beraksi. Band bermain musik dilantai tanpa pentas. Dalam dewan seluas bilik darjah ini menjadikan petikan gitar dan pukulan gendang bergema hingga menggegarkan dada. Suara manusia tenggelam. Musik yang bagitu kuat hinggakan pantulan bunyi ini boleh mengoncang tembok dinding. Sedozen anak muda sedang meloncat, mengambur dan menjerit-jerit dalam satu tarian yang penuh bertenaga. Ini pesta punk rock.

Untuk sesiapa yang belum pernah memasuki 'gig' atau konsert rock bawah tanah - sila berfikir sekali lagi. Sekurang-kurang sekali dalam hidup kita wajib merasakan gegaran bunyi petikan gitar punk rock yang mengoncangkan dada. Melihat gig sebagini akan meyakinkan kita bahawa underground gig ini bukan hanya mengegarkan Brixton atau Berlin. Di Mentakab pun ada gig underground. Mentakab rules, okay!

Nisha anak gadis 21 tahun yang melambai-lambai tadi rupa-rupanya berasal dari Chemor Perak. Dia bertandang ke Mentakab khusus untuk membantu kawannya menyusun gig AFK 2012. Nisha gadis cun berambut panjang ini masih mengikuti kuliah diploma di Maktab Kooperasi Ipoh.

"AFK ialah Acai Fifi Kasha" Dia menjeritkan jawapan ke telinga aku. "Ini studio kawan saya. Ada enam band bermain untuk gig petang ini. Gig mula jam 3 petang. Kami datang dari banyak tempat. Ada dari Jerantut, Temerloh dan yang paling banyak dari sini..Mentakab...studio ini tempat lepak."

Kumpulan pemuda-pemudi ini berpesta mengikut motto 'punk rock' seperti yang tertulis di …

Bayangkan apa jenis musik yang dimainkan oleh band dengan nama-nama seperti Attacking Business, Kill The Rock Star, Nana, Pop Up Peace, Metal Pisik dan Trotter Groc. Kugiran Pop Yeah Yeah tahun 60'an seperti The Rythmn Boys, Siglap Five atau De Fictions, Les Remaja pasti akan tutup kedai apabila punk rock sampai.

Underground gig bukan satu yang asing. Adalah kesilapan besar jika menganggap hanya di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang wujudnya underground gig. Musik underground ini adalah sebahagian dari budaya ' counter culture' yang berkembang selari dengan budaya arus perdana. Budaya counter culture ini adalah budaya anak-anak muda yang bangun melawan. Mereka bangun untuk melawan - gaya, tempo, rhytmn, dan bunyi suara musik 'main stream' yang mereka anggap poyo.

Anak anak muda underground ini tidak mempedulikan Mawi, Siti Nurhaliza atau Justin Beiber — jauh sekali untuk mereka menonton Akademi Fantasia. Untuk mereka semua ini adalah wakil dari budaya dan musik poyo dan skema. Dalam lingo hippies ditahun 60'an dulu budaya main stream ini dianggap square dan tidak cool.

Untuk punk rockers - nabi musik mereka ialah arwah Johnny Rotten, Sid Vicious dari Sex Pistols, The Clash atau The Ramones. Sex Pistols adalah band punk pertama dari kota London. Band ini masih menjadi rujukan punk rockers seluruh dunia walau pun band ini telah lama wafat.

Hari ini ada beribu-ribu lagi band bawah tanah dari Dungun hingga ke Denver, dari Semenyih hingga ke San Francisco — dari Melbourne hingga ke Madrid, dari Gaza hingga ke Moscow — malah dimana saja dalam dunia ini kita akan bertemu dengan punk rock. Punk rock bukan lagi milik anak muda kota London. Punk rock telah di demokratikan untuk dimiliki oleh anak muda semua bangsa. Malah di Kathmandu Nepal pun telah ada kumpulan punk rock.

Untuk mempercayai apa yang aku tulis ini sila layari YouTube. Pasti akan ditemui pelbagai bentuk punk rock dari seluruh dunia. Ada punk band yang berjaya mengeluarkan album dan memiliki beratus ribu peminat. Ada yang hanya hidup sebagai punk band untuk sebulan atau seminggu atau hanya sempat bermain disatu gig. Inilah genre musik underground yang sedang menjadi elemen counter culture yang ampuh.

Berhati-hati - punk rock ini macam satu gerakan agama — memiliki banyak mazhab. Ada punk pop, ada punk hardcore, ada punk metalcore, ada punk trash , ada trash metal dan dan dan. Jalur-jalur ini memisahkan antara satu band dengan yang lain. Sang peminat punk rock akan mengetahui semua jalur dan ciri-ciri band kesayangan mereka seperti seorang lebai mengetahui Sifat Dua Puluh.

Shahid Al-Warith memakai singlet merah yang agak besar untuk badannya. Dia berpeluh sesudah berpusing pusing menari sambil tolak menolak kawan-kawan dihadapan pemain band.

' Nak layan musik... nak tengok member perform...' Shahid yang masih belajar di Tingkatan Lima di Mentakab menerangkan kenapa dia hadir. Anak muda ini adalah contoh counter culture. Dia datang —untuk buat ramai - dan merayakan kawan-kawan. Shahid adalah jenerasi internet. Melalui alam siber Shahid dapat mendengar dan menghayati band band punk dari seluruh dunia. Kewujudan YouTube telah mengubah budaya anak anak muda di seluruh dunia. Music kini menjadi pengikat silatul rahim dan menjadi bahasa pertuturan anak-anak muda semua bangsa.

Pesta AFK2012 telah sampai ke penghujung. Tiga anak muda dengan satu lead gitar, satu set drum dan seorang penyanyi memanggil diri mereka Trotter Groc. Pukulan gendang yang kuat disambut pula oleh dengungan gitar yang menguruh menjadikan telinga bingar. Bilik kecil ini bergoyang-goyang.

Sang penyanyi dengan cordless mike bukan hanya menyanyi tetapi meloncat dan berlari-lari menari bersama penonton. Dewan hampir penuh. Ada yang menari dan ada yang hanya menggelengkan kepala mengikut rentak irama lagu. Lirik yang dibingarkan hanya memiliki tiga bunyi - hooohhh..rraawwww..rrooooohh... dooooh. Nah! Inilah lirik Trotter Groc dari mazhab crusty grind core.

Sharipul Aman pemain lead gitar Trotter Groc kelihatan tidak berbaju ketika bermain. Dia peluh-peluh. Dengan berat badan 100 kilo pasti ada penonton tidak menyangka yang Sharipul baru berumur 16 tahun. Tahun hadapan dia akan berhadapan dengan SPM.

' Ayah saya yang mengajar saya main gitar. Ayah juga main band. Ayah main jazz dan blues.' Shahripul dengan bangga menerangkan bahawa dia datang dari keluarga seni. Malah ayah dan ibu memahami dan tidak melarang apa yang sedang dia lakukan.

Untuk old tai dan old school yang tidak memahami apa dia gig underground pasti akan mengeluarkan pelbagai fatwa - mengutuk dan menghina. Tapi terimalah hakikat bahawa dunia hari ini telah berubah. Seni dan budaya juga berubah. Lukisan dan tarian berubah. Musik juga turut berubah. Musik bukan hanya rabbani dan kompang.

Genre punk rock ini adalah genre musik yang memiliki tenaga yang ampuh lagi mengancam. Tenaga ini adalah tenaga anak muda. Bila anak muda bertemu dengan gitar, drum set dan dikahwinkan dengan teknoloji moden — pelbagai kemungkinan akan berlaku. Musik punk ini mengancam dan berkemungkinan meruntuhkan dunia lama.

Seperti kata Sahripul Aman " Saya main musik ikut rasa hati." Punk rock ialah hati, perasaan dan sanubari anak-anak muda.

Sebelum meninggalkan Mentakab aku mengucapkan terima kaseh kepada lampu merah di persimpangan jalan. Jika tidak kerana lampu merah itu tidak mungkin aku singgah di Mentakab dan mendengar musik grind core dan trash metal untuk menyambut kedatangan Tahun Naga. END

Tukar  Tiup sepatutnya berusaha memberi motivasi kepada anak-anak muda agar menjauhi aktiviti seperti ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Archives

Search This Blog