Permit masuk Hutan Royal Belum lulus dalam tempoh 24 jam



Uploaded by ThePerakToday on Feb 1, 2012

Mulai 1 Januari lalu, proses permohonan permit ke Hutan Royal Belum dipermudahkan dengan kelulusan diberi dalam tempoh 24 jam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebelum ini, bagi pelancong tempatan, tempoh kelulusan permit masuk yang ditetapkan ialah tiga hari manakala bagi pelancong asing pula selama tujuh hari.

"Kita sedia maklum permit kemasukan ke Royal Belum merupakan isu utama yang sering dibangkitkan pelancong.

"Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah untuk mempermudahkan proses itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke destinasi itu.

"Memandangkan kawasan ini bersempadan dengan Thailand, kerjasama baik daripada pihak polis dan tentera untuk menjaga keselamatan pelancong amat kerajaan hargai," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak perkhemahan Sungai Kenerong di Royal Belum, petang ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata Agensi Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan melaksanakan Pelan Pembangunan Bersepadu Royal Belum dalam usaha membangunkan destinasi unik itu sebagai daya tarikan pelancong hingga ke peringkat antarabangsa.

Tegasnya, selain bergantung kepada keunikan biodiversiti sedia ada, agensi itu juga perlu berusaha menambah nilai pelancongan di situ dengan membangunkan pulau-pulau yang terbentuk di tengah tasik menggunakan konsep tanaman herba, orkid liar atau membuka pusat pembiakan haiwan liar seperti harimau.

"Dengan wujudnya pelbagai produk pelancongan di Royal Belum, masa pelancong tidak terbuang begitu saja sebaliknya terisi dengan aktiviti menarik," katanya lagi.

Selain itu, pelancong juga katanya, boleh berkunjung ke Royal Belum melalui udara jika sebuah lapangan terbang yang baru dapat dibina di Grik.

"Usaha Emkay Group membangunkan sektor perhotelan bertaraf dunia di sini juga telah memberi impak positif apabila 40 peratus daripada tetamu yang menginap di hotel milik mereka adalah pelancong antarabangsa," kata Zambry lagi.

Bagi mempromosikan Royal Belum ke persada dunia, kerajaan negeri katanya, akan menganjurkan Festival Dram Antarabangsa di destinasi pelancongan utama negeri itu bermula 21 hingga 26 Februari ini.

Jelasnya, festival itu akan menghimpunkan pemain dram terbaik dari seluruh dunia, sekaligus mempromosikan destinasi berkenaan di peringkat antarabangsa.

"Acara kemuncak akan berlangsung di Royal Belum dan kita sedang mengenalpasti tapak yang sesuai untuk penganjuran festival ini," katanya lagi.

Terdahulu, Zambry mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Banding Resort yang juga merupakan mesyuarat pertama diadakan di luar daerah Ipoh.

Esok, beliau dijadual bersarapan pagi dan walkabout di Pengkalan Hulu dan seterusnya bergerak ke Padang Majlis Daerah untuk majlis penyerahan geran tanah dan dividen Felcra dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Archives

Search This Blog